Copyright © Ummu Sumayyah's Online Market
Design by Dzignine
Tuesday 24 September 2013

Keutamaan menuntut ilmu agama

Hanya untuk renungan bersama.


Allah subhanahu wata'ala telah berfirman di dalam Kitab-Nya yang mulia yang maksudnya:

"Dan tidaklah aku menciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka beribadah kepada-Ku"

Daripada ayat di atas dapatlah kita fahami akan tujuan dan matlamat kita dipilih oleh Allah untuk berada di dunia ini. Bukanlah hanya untuk bersuka ria dan bukan juga hanya untuk makan, minum, buang air, pergi sekolah, balik sekolah, masuk universiti, kerja, kahwin, dapat anak, tua, dan mati sahaja. Akan tetapi tujuannya adalah jauh lebih besar daripada itu semua iaitu untuk kita semua beribadah kepada-Nya. Oleh itu elok kita tahu dahulu apa makna ibadah.

Ibadah adalah setiap perbuatan kita, perkataan kita dan juga keyakinan kita yang dicintai dan diredhai oleh Allah Subhana Wata'la.

Sebagai contoh; Sifat sabar. Ianya adalah sebuah ibadah kerana Allah ta'ala mencintai serta meredhainya. Dalilnya adalah firman Allah ta'ala yang maksudnya:

"Sesungguhnya Allah itu bersama orang orang yang bersabar"

Dan tidaklah Allah mahu bersama mereka kecuali kerana Dia mencintai serta meredhai sifat sabar yang ada pada mereka.

Contoh lain; Berdoa. ia juga merupakan sebuah ibadah kerana Allah ta'ala memerintahkan kita untuk berdoa hanya kepada Dia sahaja. Dalilnya adalah firman Allah yang bermaksud:

"Dan Rabb kamu mengatakan: Berdoalah kepada-ku nescaya aku akan kabulkannya buat kamu. Sesungguhnya mereka yang menyombongkan diri untuk beribadah kepada-Ku akan masuk Jahannam dalam keadaan yang hina"

Di dalam ayat di atas terdapat beberapa petunjuk yang menunjukkan kepada kita bahawasanya doa adalah ibadah;

  1. Perintah Allah kepada kita untuk berdoa hanya kepada-Nya. Dan tidaklah Allah ta'ala memerintahkan kita dengan suatu perkara melainkan Dia cintai dan redhai perkara tersebut.
  2. Allah sendiri yang menamakan doa itu sebagai ibadah.
  3. Allah mengancam orang orang yang menyombongkan diri untuk beribadah kepadanya dengan api neraka. 
Jadi jelas, Doa adalah sebuah ibadah. Maka, konsekuensinya adalah kita tidak boleh berdoa kepada selain Allah seperti halnya mereka yang berdoa kepada mayat di kubur yang diyakini ianya adalah mayat orang-orang saleh. Bahkan jika sekiranya mayat itu mayat Nabi sekalipun, kita tidak boleh berdoa kepadanya.

Kembali kepada tujuan kita diciptakan, Allah ta'ala berfirman di dalam ayat yang lain yang maksudnya:

"Adakah kamu menyangka (wahai manusia) bahawasanya Kami menciptakan kamu semua begitu sahaja (iaitu: tanpa ada maksud dan tujuan) sedangkan kamu semua tidak akan kembali kepada Kami? Maha Tinggi Allah, Raja yang Haq ( daripada melakukan yang demikian ). Tidak ada sesembahan yang berhak disembah melainkan Dia, Rabb Arasy yang mulia"

Allah ta'ala di dalam ayat di atas mensucikan diri-Nya daripada perbuatan yang sia-sia dan tidak berfaedah. Iyalah, kalau kita diciptakan di dunia ini tanpa ada matlamat ataupun tujuan sedangkan kita di sini diperintahkan dengan berbagai jenis perintah dan dilarang dengan berbagai jenis larangan. Kemudian, semuanya berakhir begitu sahaja tanpa ada pembalasan tentulah ianya adalah sebuah perbuatan yang sia-sia serta tidak dapat diterima oleh akal.

Oleh kerana itu wahai saudara saudari, hendaklah kita meningkatkan usaha kita dalam mempelajari ilmu agama agar kejahilan kita tidak memudharatkan kita. Berapa banyak orang yang amalnya banyak akan tetapi dia tidak mempunyai ilmu tentang apa yang dia amalkan tersebut. Hasilnya, amalan yang dia lakukan itu hanya akan memudharatkan dirinya sendiri kerana Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh 'Aisyah radhiallahu 'anha yang maksudnya:

"Barangsiapa yang melakukan suatu amalan yang tidak ada perintah daripada kami maka ianya tertolak" HR Musllim.

Daripada hadith ini, Rasulullah menegaskan bahawasanya setiap amalan ibadah itu, perlu ada perintah daripada Allah dan Rasul-Nya. ianya bukan boleh dilakukan dengan hanya berlandaskan akal dan hawa nafsu sahaja. Sebab apa saudara saudari?
Sebab agama kita ini datangnya daripada Allah ta'ala. Dia yang menurunkan agama ini dengan mengutus Nabi Muhammad sebagai penyampainya. Oleh kerana itu, semua ibadah yang hendak kita lakukan harus berdasarkan dalil atau 'lesen' daripada Allah dan Rasul. Semak dahulu, ibadah tersebut ada tak Nabi sallallahu 'alaihi wasallam memerintahkannya. Kalau ada, semak lagi bagaimana cara Baginda melakukannya. Bukannya dengan berpegang dengan akal dan menganggap baik semua perkara yang secara zahirnya kelihatan baik.

Baiklah, saya akan berikan sebuah contoh yang insyaAllah akan menperjelaskan lagi apa yang saya sampaikan ini.

Seorang lelaki masuk ke dalam masjid pada pukul 10:00 dengan niat untuk solat zuhur. Beliau berdiri tegak lantas melafazkan takbir. Beliau melakukan solat zuhur itu sebanyak 5 rakaat. Kemudian datang seorang lelaki lain yang memang dari tadi sedang memerhatikan dia. Lalu, lelaki yang memerhati itu pun bertanyakan kepada lelaki yang baru selesai solat itu akan solat yang dia lakukan. Dia menjawab solat zuhur. Lalu lelaki itu dengan hairan berkata: "solat zuhur pada pukul 10:00? Lima rakaat?.
Lalu dengan santai lelaki itu menjawab: "eh, salah ke saya nak solat zuhur sekarang? salah ke saya nak tambah satu lagi rakaat supaya pahala saya pun bertambah juga?

InsyaAllah saudara saudari tahu apa yang harus dikatakan kepada lelaki tersebut.
Wallahu a'lam. 

Sekian wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sumber:Anakanda,Wan Shahir

0 comments:

Post a Comment