Copyright © Ummu Sumayyah's Online Market
Design by Dzignine
Wednesday 18 September 2013

Pakaian Sunnah

Bismillah

Teks : Ummu Sumayyah

Entri saya kali ini pula akan mengisarkan tentang pakaian yang dipakai oleh saya serta semua anak-anak perempuan saya apabila kami keluar dari rumah.  Seperti yang pembaca semua sedia maklum, sebaik sahaja saya membuat keputusan untuk tinggal di rumah sepenuh masa, Maka berlakulah  suatu peralihan cara hidup kepada diri saya dan juga keluarga saya. Kalau dulu semasa bekerja, saya seorang yang suka bergaya dengan fesyen-fesyen yang mengikut 'trend' semasa. Aurat tidak dijaga dengan sempurna, Saya sungguh sibuk menguruskan hal-hal duniawi. Masa saya banyak dihabiskan di pejabat, pergi kerja kemudian balik kerja itulah rutin harian saya. Mana dengan nak memikirkan kerja rumah lagi, suami dan anak-anak lagi. Jiwa saya kosong tanpa pengisian ilmu agama pada waktu itu. 

Selepas itu bermulalah era kehidupan baru buat saya. Timbulnya rasa kesedaran untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik justeru menjadi hamba Allah yang diredhai dunia dan akhirat. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Allah ta'ala telah menganugerahkan kepada saya rasa kesedaran dan keinsafan itu, dalam keadaan saya masih lagi bernyawa dan bertenaga untuk melakukan ibadat kepadanya. Bukan semua insan dipilih untuk mendapatkan kesedaran begini. Tugas saya sekarang adalah untuk menjadi seorang hamba yang selalu bersyukur kepada Allah ta'ala serta tidak mengkufuri segala nikmat yang dianugerahkan kepada saya ini agar Dia tidak menarik kembali nikmat tersebut sebagaimana yang Allah katakan di dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 yang maksudnya:

(( Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sebuah (nikmat) yang diberikan kepada suatu kaum kecuali apabila kaum  tersebut yang mengubah (nikmat) yang diberikan kepada mereka itu. ))


Untuk melakukan suatu perubahan sebenarnya bukanlah suatu yang sukar, hanya saja prosesnya yang agak tidak mudah.  Ia memerlukan keazaman dan kesungguhan yang kuat  daripada diri kita sendiri dan ia juga memerlukan sokongan moral daripada  ahli keluarga kita. Ia bukanlah sebuah proses yang singkat. Sesetengah orang, sangat disayangkan kerana mereka inginkan perubahan dalam masa yang sama, mereka ingin melihat hasilnya dalam sekelip mata. Sungguh mustahil sekali.  Apa yang penting bagi saya,  jika kita ingin melakukan perubahan lakukanlah dengan cara perlahan-lahan dahulu, sedikit demi sedikit yang penting istiqamah.

Memang tidak dapat dinafikan, Institusi kekeluargaan juga memainkan peranan utama dalam mencapai matlamat ini. Di mana hubungan  antara ibu bapa dengan anak-anak amatlah penting. Sifat saling memahami dan saling menghormati sesama ahli keluarga harus sentiasa dipupuk. Jangan jadikan rumah sebagai lembah pergaduhan ataupun pertelingkahan.  Rumah sepatutnya dijadikan sebagai satu tempat yang  gembira dan harmoni.

Perubahan harus bermula dengan mengubah diri kita sendiri dahulu.  Mana mungkin untuk mengajak orang lain berubah sedangkan diri kita sendiri masih di takuk lama. Kalau niat itu datangnya dari hati yang ikhlas kerana Allah iaitu inginkan kebaikan buat diri sendiri dan keluarga, insyaAllah  kebahagiaan yang diimpikan pasti akan datang. Walaupun jalan yang dipilih itu penuh dengan ranjau dan duri. Dihina, ditindas, rasa terasing, dipulaukan, dikatakan ‘extreme’ tetapi ketahuilah Allah tetap bersama kita saban hari, setiap waktu, setiap detik dan setiap ketika untuk membantu hamba-hambanya yang bersabar dan bertaqwa. Anggaplah setiap ujian dan dugaan yang melanda adalah tarbiyah daripada Allah untuk meningkatkan iman seseorang hamba itu serta menghapuskan dosa dan nodanya.

Allah ta'ala berfirman Surah Al-Baqarah : Ayat 153 yang maksudnya:

(( Sesungguhnya Allah bersama orang orang yang bersabar )) 

Berbalik kepada tajuk entri saya kali ini. Tentang adab-adab berpakaian bagi seorang wanita muslimah. Seingat saya, ujian Allah yang paling besar ke atas saya dan keluarga di dalam fasa perubahan ini adalah  cara pemakaian kami. Selepas saya berhenti kerja, saya cuba sedikit demi sedikit untuk melakukan perubahan dari segi penampilan diri saya walaupun ketika itu saya sudah memakai pakaian yang disebut pakaian muslimah tetapi sebenarnya ia masih belum memenuhi syarat-syarat agama kita. Sehinggalah anak lelaki sulung saya yang belajar di Yaman ketika itu, menyarankan kepada saya untuk mengubah sepenuhnya cara pemakaian saya dengan mengikuti perintah Allah serta bertepatan dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Beliau (anak saya) ketika itu memberi saya banyak dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadith nabi tentang wajibnya bagi seorang wanita untuk menutup seluruh tubuhnya . Di antara dalil yang paling terkesan pada saya adalah firman Allah ta'ala di dalam surah Al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud:

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”

Saya masih ingat lagi kata-kata dari anak saya ketika itu. 'Umi, hujjah dah sampai pada umi, jadi tidak ada lagi alasan di depan Allah nanti di Yaumul Qiyamah'. Sejak daripada itulah saya bertekad untuk mengubah cara pemakaian saya serta semua anak-anak perempuan saya sepenuhnya dengan memakai jubah atau abaya hitam dan berfurdah (niqab). Selepas saya memakai furdah, hati saya lebih tenang dan pergerakan saya rasa lebih selamat, walaupun ada sesetengah pihak yang menganggap pemakaian yang menutup aurat dengan sempurna ini tidak lagi relevan untuk dipakai di zaman serba moden ini, ia hanyalah budaya orang arab semata kerana di sana berdebu dan furdah itu hanyalah bertujuan untuk menghalang debu. Akan tetapi bagi saya, apa yang saya lakukan adalah mengikut perintah Allah dan perintah Rasul-Nya. Moga Allah memberkati  dan meredhai segala usaha saya. Ameen.

Nasihat saya buat mereka di luar sana yang juga dikurniakan kesedaran dan kefahaman untuk berubah serta memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik, jangan ditangguh-tangguh lagi. Laksanakanlah dan praktikkanlah keindahan islam itu di dalam kehidupan seharian kita.

Allah berfirman di dalam surah At-Tahrim ayat 6 yang maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya adalah malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”



Sekian, Wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh


Bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan jubah hitam polos kosong  tanpa sebarang hiasan/ sulaman (yang memenuhi sepenuhnya syarat syarat yang syar'i) boleh dapatkannya di pasar online saya.

Terdapat 2 'design'. 

1. Jubah biasa tapi besar di hahagian ketiak (berscalop).

2. Jubah 'A shape'.

 Kain jenis likra. Harga RM89( Tidak termasuk kos penghantaran)

Terdapat berbagai saiz ada S,M,L dan XL.

 Sebarang pertanyaan silalah sms atau whatsapp  saya.

Ummu Sumayyah : 019 2270840













0 comments:

Post a Comment