Copyright © Ummu Sumayyah's Online Market
Design by Dzignine
Saturday 26 October 2013

Kepimpinan Melalui Tauladan

Bismillah

Teks : Ummu Sumayyah

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, daripada 'Abdurrahman bin Samurah radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

 قال لي رسول الله صلى الله عليه وسلم: يا عبد الرحمن بن سمرة لا تسأل الإمارة فإنك إن أعطيتها عن غير مسألة أعنت 
عليها وإن أعطيتها عن مسألة وكلت إليها

Maksudnya: Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam berkata kepadaku: Wahai 'Abdurrahman bin Samurah, Janganlah kamu meminta jawatan kerana sesungguhnya, jika kamu diberikan jawatan tanpa kamu memintanya maka kamu akan dibantu ke atasnya (oleh Allah ta'ala dalam menyelesaikan urusan-urusan yang berkaitan dengannya). Dan sekiranya kamu diberikan jawatan tersebut dengan kamu memintanya maka kamu akan diserahkan kepada dirimu sendiri (iaitu tidak akan dibantu bahkan diserahkan urusan kepadanya untuk diselesaikan sendiri).

Di dalam hadith ini dapat kita fahami akan larangan bagi seseorang itu untuk meminta jawatan bagi dirinya. Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda : "Janganlah kamu meminta jawatan" kerana sekiranya seseorang itu menjadi pemimpin disebabkan permintaannya maka dia tidak akan dibantu oleh Allah ta'ala dalam menyelesaikan permasalahan-permasalahannya oleh itu pasti hasilnya menemui kegagalan. Sedangkan bagi mereka yang menjadi pemimpin atau menjawat sebuah jawatan bukan atas permintaannya, tetapi atas pilihan dari 'orang orang yang berakal' untuk melakukan amanah yang berat itu, maka Allah ta'ala akan membantunya.

Abu Dzarr radhiallahu 'anhu pada suatu hari berkata kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam : "Wahai Rasulullah, Tidakkah mahu engkau memberikan kepadaku jawatan? Maka Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam terus menepuk bahunya seraya bersabda:


  يا أبا ذر إنك ضعيف وإنها أمانة وإنها يوم القيامة خزي وندامة إلا من أخذها بحقها وأدى الذي عليه فيه

Maknanya: Wahai Abu Dzarr, Sesungguhnya kamu ini lemah sedangkan jawatan itu adalah sebuah amanah. Dan sesungguhnya ia pada hari kiamat kelak akan menjadi sebuah penghinaan dan penyesalan kecuali bagi mereka yang mengambilnya dengan haknya serta menunaikan hak jawatan yang telah menjadi kewajipannya.

Dan p
ada suatu hari yang lain, datang dua orang lelaki kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam kemudian mereka pun meminta kepada Baginda untuk memberikan jawatan kepada mereka di suatu tempat. Maka apa kata Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam?

 إنا والله لا نوالى هذا الأمر أحدا سأله أو أحدا حرص عليه

Maksudnya: Sesungguhnya kami, Demi Allah ! tidak memberikan perkara ini kepada sesiapa yang memintanya atau kepada sesiapa yang bersungguh sungguh untuk mendapatkannya.


Lalu bagaimana dengan Nabi Yusuf 'alaihissalam ketika beliau meminta kepada raja pada waktu itu untuk menjadikan beliau sebagai pengurus perbendaharaan negeri Mesir sebagaimana yang disebutkan di dalam surah Yusuf ayat 55. Allah ta'ala berfirman: 


قال اجعلني على خزائن الأرض

Maknanya: (Yusuf) berkata: "Jadikanlah aku sebagai yang mengurus perbendaharaan bumi (mesir) ini".

Di sana ada beberapa jawapan:

  1. Kaedah Ilmu Ushulul Fiqh mengatakan: "Syariat sebelum kita merupakan syariat kita juga selama tidak ada di dalam syariat kita sesuatu yang menasakhkan (memadamkan) syariat yang sebelum kita itu". Jadi di dalam kes ini, dapat kita simpulkan yang meminta jawatan adalah suatu yang boleh pada zaman Nabi Yusuf. Ia pada asalnya juga merupakan syariat bagi kita. Akan tetapi, ternyata ada di dalam syariat kita yang menghapuskan hukum boleh tersebut iaitu dua hadith yang tersebut di atas. 
  2. Nabi Yusuf 'alaihissalam pada waktu itu melihat yang hasil bumi negeri mesir telah disalahgunakan dan tidak diagihkankan dengan betul oleh golongan yang bertanggungjawab ke atasnya. Jadi di dalam kes ini, Nabi Yusuf mempunyai niat dan maksud yang baik iaitu ingin menghentikan pentadbiran yang tidak baik dan perbuatan yang akan merosakkan negeri Mesir kelak. Maka ianya tidak mengapa. Apatah lagi beliau tahu yang beliau adalah seorang Nabi yang mana setiap perbuatan ataupun perkataannya pastilah diperhatikan oleh Allah ta'ala. Maksudnya, sekiranya ada yang tidak kena, pasti akan terus ditegur oleh Allah.
  3. Beliau adalah seorang Nabi. Dan Nabi, pastilah setiap apa yang dia lakukan merupakan wahyu dari Allah ta'ala. Jadi di dalam kes ini, tidak menjadi masalah bagi Nabi Yusuf atas permintannya tersebut kerana wahyu yang memerintahkannya.

(Sumber: anakanda, Wan Shahir)

0 comments:

Post a Comment