Copyright © Ummu Sumayyah's Online Market
Design by Dzignine
Wednesday 6 November 2013

Manusia Dan Fasa Kehidupannya

Bismillah

Teks : Ummu Sumayyah


Baru saja tahun 1434 hijriyyah telah pergi meninggalkan kita. Ini bermakna usia kita makin bertambah, jangka hayat kita makin berkurang dan kematian semakin menghampiri kita. Wahai saudara-saudara ku sekelian ketahuilah bahawa setiap insan yang dikurniakan oleh Allah dengan umur yang panjang maka dia pasti akan melalui atau melihat beberapa tahapan atau fasa kehidupannya.


Fasa pertama iaitu dari saat kita dilahirkan sehinggalah kita mencecah umur akil baligh. 


Dari Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu diriwayatkan bahwa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:
"Setiap anak dilahirkan dalam fitrahnya. Kedua orang tuanya yang menjadikannya sebagai Yahudi, Nashrani atau Majusi.." (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Di dalam fasa ini peranan kedua ibu bapa itu sangat penting kerana sekiranya pendidikan yang diberikan kepada anak-anak itu menjurus kepada duniawi maka akan tumbuhlah sebagai anak yang bermatlamat keduniaan semata. Dan jika kedua ibu bapa itu mementingkan pendidikan agama, maka InsyaAllah anak itu akan tumbuh menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Oleh itu kita sebagai ibu bapa haruslah bijak dalam membuat pilihan kerana fasa ini merupakan penentuan bagi seseorang jika mereka dibentuk menjadi anak yang soleh maka tahapan berikutnya akan lebih mudah. 

Fasa kedua pula adalah dari umur akil baligh hingga akhir usia 35 tahun. Pada usia ini seseorang itu sudah menjadi mukallaf (terbebani syariat) iaitu mereka diperintahkan untuk mengerjakan sesuatu yg disyariatkan oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah. Di dalam fasa ini juga disebut dengan fasa jihad melawan hawa nafsu dan melawan iblis serta bala tenteranya. Oleh sebab itulah fasa ini tergantung daripada keberhasilan fasa yang pertama. Jika seseorang itu berjaya di dalam fasa pertama, maka fasa kedua ini lebih mudah untuk seseorang itu mengenali syahwat yang menggoda dan syubhat yang ada. 

Seseorang yang berjaya pada fasa ini insyaAllah akan mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Rabb semesta alam..

Abu Hurairah radiallahu'anhu telah meriwayatkan bahawasanya Nabi sallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda: 
 
” Terdapat 7 golongan yang akan mendapat lindungan arasyNya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripadaNya; Pemimpin yand adil; pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah; seseorang yang hatinya terpaut pada masjid; 2 lelaki yang berkasih sayang dan bertemu dan berpisah kerana Allah SWT; lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan Aku Takutkan Allah; seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehinggakan tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya; dan seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah.” Riwayat Muslim


Oleh itu berbahagialah kepada lelaki dan perempuan yang sentiasa hidup dalam beribadah kepada Allah. Sentiasa menyedari bahawa Allah melihat segala perbuatannya.Jika seseorang itu berjaya di dalam fasa kedua ini maka fasa yang seterusnya akan lebih mudah dan begitulah sebaliknya.

Fasa ketiga pula dari Umur 35 hingga 50 tahun. Fasa ini lebih kepada 'selagi ada waktu'. Ianya boleh jadi positif dan boleh jadi negatif tergantung kepada fasa sebelum ini. Kalau seseorang itu berjaya menjadi orang yang soleh, maka pada usia ini dia akan menggunakannya secara positif. Selagi masih ada waktu untuk meneruskan dan terus melakukan amal soleh.



Ketika seseorang itu menjangkau usia 40, ketika uban mulai tumbuh, janggut mulai putih maka kebanyakan kita akan mula muhasabah diri dengan mencari apa yang kurang pada masa lalu dan mula mendekatkan diri dengan ilmu agama dan banyak bertaubat kepada Allah atas kesilapan lampau. Bagi mereka yang gagal dalam fasa sebelum ini maka mereka masih lagi berkesempatan untuk bertaubat kerana masih belum terlalu tua.

Fasa keempat umur antara 50 hingga 70 tahun. Bagi mereka yang tergolong di dalam orang-orang soleh mereka akan memperbanyakan lagi muhasabah diri dengan memiliki program utk mempersiapkn kedatangan maut, banyak mengingati mati dan memperbanyakan amal soleh. Ada pun mereka yang gagal dalam fasa ini memandangkan umur semakin tua, badan semakin lemah tidak secergas dahulu dan jika mereka masih lagi melakukan dosa dan maksiat maka Allah akan melipat gandakan hukuman untuk mereka.

Fasa ke lima 70 tahun ke atas. sesetengah orang menganggap sebagai umur subsidi. Orang soleh akan banyakkan istighfar dan memohon utuk mendapat husnul khotimah.

Wallahu 'alam

0 comments:

Post a Comment