Copyright © Ummu Sumayyah's Online Market
Design by Dzignine
Wednesday 30 April 2014

Bulan Rejab

Teks: Ummu Ahmad (Zahrah)

Asal Penamaan.

Perkataan Rejab adalah berasal daripada kata 'rajjaba' - 'yurajjibu' yang ertinya adalah mengagungkan. Bulan ini dinamakan Rejab kerana bulan ini diagungkan oleh masyarakat Arab.

Keutamaan Bulan Rejab.

Bulan Rejab adalah salah satu daripada empat bulan haram. Allah ta'ala berfirman yang bermaksud:

(( Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan mengikut ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya ada empat bulan haram. Itulah agama yang lurus )) ( At-Taubah: 36 ).

Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda:

(( Sesungguhnya zaman berputar mengikut keadaannya, ketika Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada dua belas bulan, di antaranya empat bulan haram. Tiga bulan berturut-turut iaitu Dzulqaedah, Dzulhijjah, Muharram dan satu bulan Rejab suku Mudhar, iaitu bulan di antara Jumaadil ( Thaniah)  dan Sya'aban )) HR Bukhari dan Muslim.

Keterangan:

Disebut di dalam hadith di atas "Rejab suku Mudhar" kerana suku Mudhar adalah suku yang paling menjaga kehormatan bulan Rejab, dibandingkan dengan suku-suku yang lain. Kemudian, Nabi sallallahu alaihi wasallam memberi batasan antara Jumaadil (Thaniyah ) dan Sya'aban, sebagai bentuk menguatkan makna.

Ada ulama' yang menjelaskan makna "Rejab suku Mudhar" dengan makna yang lain iaitu ianya untuk membezakan dengan bulan yang diagungkan oleh suku Rabi'ah. Suku Rabi'ah  menghormati bulan Ramadhan, sementara suku Mudhar mengagungkan bulan Rejab. Kerana itu bulan ini dinisbahkan kepada suku Mudhar.

Dan yang dimaksudkan dengan bulan haram adalah bulan yang dilarang di dalamnya untuk berperang.

Disebabkan bulan ini termasuk di antara bulan bulan yang diagungkan, maka tidak hairanlah kita dapati ada di antara masyarakat kita yang mengkhususkan bulan ini untuk mereka melakukan ibadah tertentu seperti solat dan puasa. Maka, di sini saya akan menyebutkan beberapa perkara perkara baru yang dilakukan pada bulan ini yang mungin telah tersebar luas di dalam masyarakat kita yang tidak ada perintah ataupun contoh daripada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Dan saya akan menukilkan perkataan daripada Asy-Syaikh Muhammad bin Sholeh Al 'Uthaimeen rahimahullah berkenaan dengan ini insyaAllah:

Di antara kebid'ahan pada bulan rejab:

Telah berkata Asy-Syaikh Muhammad bin sholeh Al 'Uthaimin rahimahullah:

1. Setiap hadith yang datang berkenaan dengan keutamaan solat ataupun puasa pada bulan rejab, semuanya adalah hadith hadith yang sangat dhaif ( lemah ) .

2.Bahkan telah berkata sebahagian ulama', ianya ( iaitu hadith - hadith tersebut ) adalah hadith yang maudhu' dan merupakan pendustaan terhadap Nabi sallallhu alaihi wasallam. Maka tidak halal bagi seseorang itu untuk berpegangan dengan hadith - hadith seperti itu.

3. Tidak halal bagi  seseorang itu untuk berpegang denganya maka dia mengkhususkan bulan Rejab untuk melakukan puasa ataupun solat, kerana itu adalah bid'ah sedangkan Nabi sallallahu alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud : " Setiap bid'ah itu adalah kesesatan dan setiap kesesatan itu tempatnya neraka" .

4. Ada sebuah hadith yang disandarkan kepada Rasulullah sallallahu alahi wasallam bahawasanya baginda selalu berdoa apabila masuk pada bulan Rejab dan Sya'ban serta sampaikanlah kami pada ke bulan Ramadhan"

Akan tetapi hadith ini wahai saudara ku, adalah hadith yang dhaif lagi mungkar yang tidak tsabit daripada Nabi sallallahu alaihi wasallam. Oleh kerana itu, tidak sepatutnya bagi seseorang itu untuk berdoa dengan doa ini kerana ianya tidak sah penisbahannya kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.

5. Sesungguhnya aku mengatakan kepada kamu semua sebagai penjelas bagi kebenaran bahawasannya bulan Rejab tidak ada solat yang dikhususkan di dalamnya, tidak pada malam jumaat yang pertama pada bulan tersebut dan tidak pula pada malam- malam yang selainnya. Dan tidak ada puasa yang dikhususkan di dalamnya, tidak pada hari pertama pada bulan tersebut dan tidak pula pada hari-hari yang selain dengannya .

6. Tidak boleh bagi seseorang itu untuk mengkhususkan waktu ataupun tempat untuk melakukan sesuatu ibadah yang mana waktu  ataupun tempat tersebut tidak dikhususkan oleh Allah subhanahu wata'ala dan Rasul-Nya. itu adalah kerana kita melakukan sesebuah ibadah itu berdasarkan syariat Allah ta'ala, bukan kerana hawa nafsu ataupun perasaan kita .

7. Sesungguhnya wajib ke atas kita untuk mengatakan "kami mendengar dan kami taat" serta melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Di samping itu kita tidak mensyariatkan buat diri kita ibadah- ibadah  yang tidak disyariatkan oleh Allah mahupun Rasul-Nya ke atas kita.

8. Wahai sekalian Muslimun ! Sesungguhnya amalan-amalan yang soleh, yang telah sampai kepada kita melalui Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah ( yang sohih ) adalah cukup bagi kita. Maka kita tidak memerlukan hadith-hadith yang dha'if ataupun maudhu' yang mana ianya merupakan pendustaan terhadap Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Sesungguhnya seseorang itu apabila dia menyembah Allah dengan sesuatu yang ianya merupakan di antara syari'at Allah, Maka sesungguhnya dia telah menyembah Allah di atas 'bashirah' sambil dia mengharapkan pahala Allah dan takutkan siksaan-Nya.

Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada Engkau  untuk Engkau kurniakan kepada kami ilmu yang bermanfaat, amalan yang soleh, rezeki yang baik serta zuriat yang baik Ya Rabbal 'aalamin. Ya Allah, ajarkanlah kami apa yang bermanfaat bagi kami dan manfaatkanlah kami dengan apa yang telah kami ketahui dan tambahkanlah ilmu kepada kami Ya Rabbal 'aalamin.

Sekian, Semoga bermanfaat.