Copyright © Ummu Sumayyah's Online Market
Design by Dzignine
Tuesday, 22 October 2013

Asam Jawa Kampung

Bismillah

Teks : Ummu Sumayyah


Bagi masyarakat Malaysia penggunaan asam jawa di dalam masakan adalah sangat sinonim terutama di dalam masakan melayu.Tetapi tahukah kita bahawa asam jawa ini, selain digunakan di dalam masakan ia juga mempunyai banyak khasiat. 

Masih ingat lagi saya ketika zaman kanak-kanak dahulu, apabila ada di antara adik beradik saya yang mengalami demam panas, maka ibu saya akan mengambil segenggam asam jawa dicampur dengan sedikit air lalu di ramas-ramas hingga sebati. Kemudian ibu saya akan menjelum asam jawa tersebut dengan menyapukan di atas bubun kepala anak-anak yang mengalami demam panas. Ia bertujuan untuk menyejukkan badan ketika demam. Tetapi asam jawa tersebut haruslah yang segar.

Dahulu keluarga saya akan membuat sendiri asam jawa ini. Ibu saya akan mendapatkan buah asam jawa matang dalam kuantiti yang banyak dari orang-orang kampung lalu saya serta adik beradik yang lain akan mengupas sambil membuang bijinya. Walaupun kerjanya agak rumit tetapi kami amat berpuas hati kerana menghasilkan asam jawa sendiri yang terjamin kebersihannya. Asam jawa ini juga dapat bertahan lama. Dari kecil saya sudah biasa dengan asam jawa kampung ini. Walaupun dahulu saya menetap di Kuala Lumpur, saya jarang membeli asam jawa yang dijual di kedai-kedai kerana rasanya tidak menepati dengan jiwa saya. Saya tetap akan membeli asam jawa kampung setiap kali saya pulang ke kampung. Terasa perbezaan nya apabila kita menggunakan asam jawa kampung ini di dalam masakan.  Keenakan masakan akan terasa di samping menyihatkan badan.

Bagi sesiapa yang ingin mencuba asam jawa kampung ini di dalam masakan, dan sukar untuk mendapatkannya maka bolehlah hubungi saya.

Harga :

1 kg - RM15 (Tidak termasuk kos penghantaran)


Asam jawa kampung yang sudah di buang bijinya.

Bagi sesiapa yang belum pernah melihat bagaimana rupa buah asam jawa. Di bawah ini adalah gambar buah asam jawa yang belum dipetik yang masih berada di atas pokok..

 
Monday, 21 October 2013

Kopi Turun Temurun

Bismillah

Teks : Ummu Sumayyah

InsyaAllah kali ini saya ingin memperkenalkan pula sejenis minuman yang tidak asing lagi kepada masyarakat Malaysia iaitu 'Kopi O'. Memang tidak dinafikan bahawa kopi merupakan minuman wajib kepada keluarga saya sejak dari zaman nenek moyang saya lagi. Tetapi yang paling istimewanya kopi yang dinikmati oleh keluarga saya adalah kopi yang sama sejak dari zaman datuk saya lagi iaitu kopi kampung. 

Walaupun sekarang terdapat berbagai-bagai jenis kopi di pasaran dengan iklan-iklan yang hebat tetapi kebanyakannya tidak menepati dengan tekak saya. Kopi kampung turun temurun ini jugalah yang menjadi pilihan saya. Ia mempunyai citarasa tersendiri.

Bagi sesiapa penggemar kopi yang ingin mencuba kopi turun temurun warisan keluarga saya boleh lah mencubanya.

250 gm - RM6
500 gm - RM12.

Boleh hubungi saya Ummu Sumayyah : 019 2270840

*tidak termasuk kos penghantaran
















Thursday, 17 October 2013

Hikmah Dalam Berdakwah

Bismillah

Teks : Ummu Sumayyah

Allah ta'ala berfirman di dalam Kitab-Nya:



ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Maknanya: Serulah kamu (wahai Muhammad akan manusia) kepada jalan Rabb-Mu dengan berhikmah serta (dengan memberikan) peringatan yang baik. Dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik. Kerana sesungguhnya Rabb-mu, dialah yang maha mengetahui akan orang orang yang terpesong daripada jalan-Nya sedang Dia Maha Mengetahui akan orang-orang yang mendapatkan hidayah.

Di dalam ayat di atas ini, Allah ta'ala menyatakan kepada kita akan ciri-ciri serta adab-adab yang harus ada pada seorang pendakwah. 

Pertama sekali, hendaklah dia berdakwah kepada jalan yang lurus yang telah Allah tetapkan, yang mana jalan yang lurus tersebut mencangkupi ilmu yang bermanfaat dan juga amalan yang soleh. Bukan berdakwah kepada dirinya, bukan juga kepada jama'ahnya dan bukan juga kepada pemikiran ataupun mazhabnya. Akan tetapi hendaklah dia berdakwah kepada Allah dan kerana Allah. 

Kedua, setelah kita luruskan niat, hendaklah dakwah kita diasaskan dengan apa yang dimulakan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam serta para Nabi dan Rasul sebelumnya 'alaihimussalam iaitu dengan Tauhid. Tauhid adalah mengesakan Allah ta'ala di dalam aspek ketuhanan serta pengibadahan. Aspek ketuhanan adalah dengan kita meyakini bahawa Allah sahajalah yang menciptakan segala sesuatu, Allah sahajalah yang memberikan rezeki kepada segala sesuatu serta Allah sahajalah yang mengaturkan segala sesuatu dan tidak ada sekutu baginya. Di samping kita mengesakan Allah ta'ala di dalam nama-nama dan sifat sifat-Nya subhanahu wata'ala.

Adapun aspek pengibadahan, maka dengan kita mengesakan Allah di dalam melakukan ibadah baik ibadah yang berkaitan dengan hati seperti tawakkul, cinta, takut, berharap dan yang sejenisnya ataupun ibadah yang berkaitan dengan lisan seperti zikir, do'a, dan berdakwah ataupun yang berkaitan dengan amal perbuatan seperti solat, puasa dan membayar zakat.

Jadi, tauhid meliputi dan mencangkupi semua ini.

Dalilnya, Allah ta'ala berfirman:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ

Maknanya: Dan sungguh telah Kami utuskan kepada setiap ummat itu seorang rasul (untuk mereka serukan) dengan "sembahlah kamu semua akan Allah dan jauhilah thagut"

Dengan dalil di atas, ini menunjukkan yang semua Rasul-Rasul yang diutuskan oleh Allah di atas muka bumi ini, semuanya diperintahkan untuk menyerukan kepada kaumnya pertama sekali dengan tauhid. "Sembahlah Allah dan janganlah menyekutukannya"

Allah ta'ala berfirman: 

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُولٍ إِلَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُونِ

Maknanya: Dan tidaklah Kami utuskan seorang rasul pun sebelum kamu (wahai Muhammad) kecuali kami wahyukan kepadanya dengan "sesungguhnya tidak ada sesembahan yang berhak disembah melainkan Aku, maka sembahlah Aku

Sedangkan rasul-rasul itu, tidaklah mereka diutuskan kecuali untuk menyampaikan apa yang disampaikan oleh Allah kepada mereka.

Ketiga, hendaklah dakwah itu dilakukan dengan cara yang berhikmah. Hikmah adalah meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya. Jadi, bagi seorang pendakwah, sikap dan sifatnya sangat penting untuk merealisasikan hikmah tersebut. Tergantung kondisi serta situasi orang orang yang hendak didakwahkan. Sikap tegas dan lembut hendaklah diletakkan berdasarkan keadaan semasa. Tidak boleh keras sentiasa dan tidak boleh juga lembut sentiasa kerana seorang pendakwah itu akan dijadikan contoh oleh masyarakat atau orang-orang yang mereka dakwahi.

Jadi kesimpulannya bahawa ciri-ciri yang harus ada pada seorang pendakwah dalam memulakan dakwahnya adalah:
  1. Ikhlas dalam berdakwah
  2. Mempunyai ilmu tentang apa yang hendak didakwahkan berdasarkan Al-Quran, As-Sunnah di atas pemahaman Salaf.
  3. Berhikmah dalam mendakwahkan ilmu kepada manusia dengan meletakkan sikap keras dan lembut pada tempatnya.
Sumber: Anakanda Wan Shahir
Saturday, 12 October 2013

Fitnah Wanita

Bismillah

Teks : Ummu Sumayyah

Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan sebuah hadith daripada 'Uqbah bin 'Amir bahawasanya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:



.إياكم والدخول على النساء. فقال رجل من الأنصار: يا رسول الله أفريت الحموا؟ قال: الحمو الموت

Maksudnya: Hati-hatilah kamu semua daripada masuk kepada para wanita. Maka salah seorang lelaki dari kalangan anshar berkata: Wahai Rasulullah, bagaimana menurut kamu tentang ipar? Maka Baginda pun bersabda: Ipar itu Maut !

 

Di dalam hadith yang ringkas ini, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mengingatkan kepada kita akan bahayanya fitnah wanita. Dan ianya merupakan sebuah peringatan yang sangat padat di dalam kalimat yang sangat ringkas. Terbukti apabila baginda ditanya oleh salah seorang sahabatnya tentang ipar. "Al-Hamwu" di dalam hadith di atas yang membawa maksud saudara kandung sebelah suami atau di dalam bahasa kita di panggil ipar. Setelah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam ditanya berkaitan ipar, Maka baginda pun mengatakan: Ipar itu Maut.
 

 Apa maksud ipar itu maut? Apa yang menyebabkan baginda berkata seperti itu?
 

Jawapannya adalah: Kerana potensi untuk terjadinya maksiat di antara ipar adalah lebih besar dibanding dengan lelaki 'ajnabiy (asing). Kerana sudah menjadi kebiasaan di dalam masyarakat kita bahawa hubungan dengan ipar itu kita merasakan seperti sama hubungan dengan saudara kandung sendiri. Begitu juga dengan pandangan masyarakat di mana sekiranya didapati seorang lelaki pergi menemui isteri adik atau isteri abangnya ia tidaklah diingkari kerana dia ada hubungan dengan perempuan tersebut. Iaitu iparnya. Maka, syaitan pun menjadi orang ketiga di antara mereka berdua untuk melakukan pengkhianatan kemaluan. Berbeza dengan lelaki asing, sebagai contoh apabila seorang lelaki asing masuk ke rumah seorang wanita yang sudah bersuami, sudah tentu mereka akan mengingkarinya. 

Tambahan pula zaman sekarang ini, sudah menjadi kebiasaan di dalam masyarakat kita di mana seorang lelaki atau perempuan tinggal serumah dengan iparnya tanpa ada batas pergaulan dan ini boleh membawa kepada kemurkaan Allah

Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam bersabda di dalam sebuah hadith:


واتقوا النساء، فإن أول فتنة بني إسرائيل كانت في النساء

Maknanya: Dan berhati-hatilah kamu akan wanita. Kerana sesungguhnya fitnah pertama yang menimpa Bani Israil adalah disebabkan wanita. HR Muslim.

Dan Baginda juga bersabda:


ما تركت بعدي فتنة أضر على الرجال من النساء

Maknanya: Tidaklah aku meninggalkan sebuah fitnah yang paling berbahaya bagi kaum lelaki daripada wanita. HR Bukhari & Muslim

Ini menandakan yang wanita merupakan fitnah yang maha dasyat ke atas kaum lelaki. Begitu juga wanita, lelaki merupakan fitnah yang maha dasyat bagi mereka.

Kesimpulannya baik lelaki mahupun perempuan haruslah menjaga diri masing masing daripada melakukan pergaulan bebas walau dimana pun kita berada.



Wallahu'alam.

sumber: Anakanda,wanshahir
Tuesday, 8 October 2013

Tipu Daya Dunia

Bismillah

Teks : Ummu Sumayyah


Janganlah terpedaya dengan kehidupan dunia kerana sesungguhnya kehidupan dunia ini umpama kabus di pagi hari, melihatnya dalam masa yang singkat lalu hilang dibawa angin. Kebanyakan kita hanya sibuk dengan urusan-urusan duniawi sehingga kita lupa bahawa kesenangan dunia ini hanyalah sementara. Syaitan pula akan sentiasa mengambil peluang untuk menggoda kita supaya menikmati kesenangan-kesenangan dunia dengan melanggar perintah Allah. Jadi berwaspadalah kita supaya jangan menjerumuskan diri di dalam dosa dan kesenangan-kesenangan dunia yang menipu tetapi ikutilah peritah Allah dan Rasul agar kehidupan kita dirahmati Allah sentiasa.

Ketahuilah sesungguhnya kehidupan akhirat adalah sebenar-benar kehidupan yang akan membawa manusia kepada kehidupan yang kekal abadi. Oleh itu sama-samalah kita persiapkan diri dengan bekalan untuk menuju perjalanan yang panjang ini. Gunakanlah masa yang singkat di dunia ini dengan sebaik mungkin untuk mendapat kebahagiaan hidup di akhirat nanti. Hanya ada dua destinasi samada syurga atau neraka. Yang mana satu pilihan anda?  



Firman Allah dalam surah Al-Hadid : 20

"Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu"(Al-Hadiid 57:20)

 



 
Saturday, 5 October 2013

Apa Itu Islam

Bismillah

Teks : Ummu Sumayyah


Makna islam dari segi bahasa adalah berserah diri. Manakala makna islam dari segi istilah / syarak pula ianya terbahagi kepada dua iaitu islam secara umum dan islam secara khusus.

Adapun definisi umum, islam itu adalah berserah diri hanya kepada Allah dengan Tauhid iaitu (menyembah hanya kepada-Nya), tunduk kepada-Nya dengan keta’atan, dan berlepas diri dari kesyirikan (menyekutukan Allah). Setiap agama yang tegak di atas muka bumi ini, yang Allah perintahkan untuk diikuti pada suatu zaman tertentu. Maka, jadilah umat-umat yang sebelum kita yang mana agama mereka tegak pada waktu itu dan Allah memerintahkan mereka untuk mengikutinya.

Allah berfirman menceritakan tentang ucapan Nabi Nuh 'alaihis salam terhadap kaumnya yang kufur:

فإن توليتم فما سألتكم من أجر. إن أجري إلا على الله. وأمرت أن أكون من المسلمين

Maknanya: Maka sekiranya kamu semua berpaling (daripada peringatanku, maka tidaklah ianya menjadi masalah buatku) kerana aku tidak meminta daripada kamu semua apa apa balasan. Sesungguhnya balasanku hanyalah daripada Allah semata. Dan aku diperintahkan untuk menjadi di antara orang orang islam (yang berserah diri kepada Allah)

Perhatikan perkataan Nabi Nuh 'alaihis salam: Dan aku diperintahkan untuk menjadi di antara orang orang islam.

Dan Allah berfirman menceritakan tentang Nabi Ibrahim dan Nabi Ya'qub 'alahimassalam:


إذ قال له ربه أسلم. قال أسلمت لرب العالمين. ووصى بها إبراهيم بنيه ويعقوب يا بني إن الله اصطفى لكم الدين فلا تموتن إلا وأنتم مسلمون

Maknanya: Dan ingatlah ketika Rabb Ibrahim berkata kepadanya: Berserah dirilah. Maka dia pun mengatakan: Aku berserah diri kepada Rabb sekalian alam ini. Dan Ibrahim pun mewasiatkan tentang agama ini kepada anak anaknya dan Ya'qub (juga begitu, mewasiatkan tentang agama ini kepada anak anaknya) dengan berkata: Wahai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih bagi kamu semua agama ini maka janganlah kamu mati kecuali kamu dalam keadaan islam.

Perhatikan perkataan Nabi Ibrahim dan Nabi Ya'qub kepada anak anak mereka: Maka janganlah kamu mati kecuali kamu dalam keadaan islam.

Banyak lagi contoh contoh yang semisal ini. Di antaranya di dalam surah Yunus: 84, surah Al-Maidah: 44, Surah Al-Maidah ayat 111 dan surah An-Naml: 44.

Adapun definisi islam secara khusus, maka ia dikhususkan hanya kepada syariat Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam.

Allah ta'ala berfirman:
قل إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين. لا شريك له وبذلك أمرت وأنا أول المسلمين


Maknanya: Katakanlah (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya solatku, sembelihanku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah Rabb sekalian alam. Tidak ada sekutu baginya. Demikianlah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama sekali berserah diri. 

Maka tidak ada islam selepas diutusnya Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam kecuali dengan mengikutinya. Kerana agamanya adalah yang menjadi penghukum kepada agama agama yang sebelumnya. Dan syariatnya adalah yang me'nasakh'kan (memadamkan) syariat syariat yang telah lalu.

Dan barangsiapa yang telah sampai kepadanya berita tentang kerasulan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam kemudian dia tidak beriman dengannya serta tidak mengikutinya, maka dengan itu dia telah menjadi kafir -na'udzu billah-.

Wallahu a'lam.
sumber : anakanda wannshahir.
Thursday, 3 October 2013

Nikmat Islam

Bismillah

teks : ummu sumayyah.



Firman Allah ta'ala dlm surah  (Al-Maa’idah, 3) yang bermaksud :



“Pada hari ini (Hari 'Arafah) telah Aku sempurnakan bagi kamu Agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi Agama untuk kamu”

Maka, ini merupakan nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah ke atas kita umat Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Dia telah menyempurnakan bagi kita agama kita. Maka kita tidak memerlukan kepada agama lain selain dari agama islam. Begitu juga dengan nabi, kita tidak memerlukan juga kepada selain Nabi yang diutuskan kepada kita sallallahu 'alaihi wasallam. Oleh kerana itu Allah menjadikan baginda sebagai Nabi yang terakhir lagi termulia. 

Tidak ada yang halal kecuali apa yang telah dihalalkan olehnya. Tidak ada yang haram kecuali apa yang telah diharamkan olehnya. Tidak ada agama kecuali apa yang telah disyariatkan olehnya. Tidak perlu untuk kita mendahulukan akal kita dalam melakukan suatu ibadah. Cukup dengan dalil. Ada dalil, silakan buat. Tidak ada dalil awas jangan nak memandai buat. Jangan rasa diri lebih pandai daripada Allah dan Rasul, kerana setiap apa yang dikhabarkan oleh Allah dan Rasul adalah benar dan setiap apa yang ditentukan oleh Allah adalah adil. 

Allah berfirman:
وتمت كلمة ربك صدقا وعدلا

Maknanya: Dan telah sempurnalah kalimat Rabb-mu dengan benar dan adil.


Kalimat Allah mencangkupi segala berita yang dikhabarkan di dalam Al-Quran baik berupa kisah para Nabi yang terdahulu mahupun kisah ghaib yang akan berlaku nantinya di hari akhirat dan mencangkupi juga segala perintah, larangan dan janji yang Allah janjikan di dalam Al-Quran. Baik janjinya kepada orang orang yang beriman mahupun janjinya kepada orang orang kafir.

Jadi, segala khabar yang Allah sampaikan kepada kita di dalam Al-Quran adalah benar benar belaka. Dan segala perintah dan larangan yang Allah tetapkan di dalam Al-Quran adalah adil adil belaka. Begitu juga dengan janji janji Allah. semuanya adil dan benar.


Wallahu a'lam.

Sumber:Anakanda,Wan shahir