Bismillah
Teks : Ummu Sumayyah
Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan sebuah hadith daripada 'Uqbah bin 'Amir bahawasanya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
.إياكم والدخول على النساء. فقال رجل من الأنصار: يا رسول الله أفريت الحموا؟ قال: الحمو الموت
Maksudnya: Hati-hatilah kamu semua daripada masuk kepada para wanita. Maka salah seorang lelaki dari kalangan anshar berkata: Wahai Rasulullah, bagaimana menurut kamu tentang ipar? Maka Baginda pun bersabda: Ipar itu Maut !
Di dalam hadith yang ringkas ini, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mengingatkan kepada kita akan bahayanya fitnah wanita. Dan ianya merupakan sebuah peringatan yang sangat padat di dalam kalimat yang sangat ringkas. Terbukti apabila baginda ditanya oleh salah seorang sahabatnya tentang ipar. "Al-Hamwu" di dalam hadith di atas yang membawa maksud saudara kandung sebelah suami atau di dalam bahasa kita di panggil ipar. Setelah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam ditanya berkaitan ipar, Maka baginda pun mengatakan: Ipar itu Maut.
Apa maksud ipar itu maut? Apa yang menyebabkan baginda berkata seperti itu?
Jawapannya adalah: Kerana potensi untuk terjadinya maksiat di antara ipar adalah lebih besar dibanding dengan lelaki 'ajnabiy (asing). Kerana sudah menjadi kebiasaan di dalam masyarakat kita bahawa hubungan dengan ipar itu kita merasakan seperti sama hubungan dengan saudara kandung sendiri. Begitu juga dengan pandangan masyarakat di mana sekiranya didapati seorang lelaki pergi menemui isteri adik atau isteri abangnya ia tidaklah diingkari kerana dia ada hubungan dengan perempuan tersebut. Iaitu iparnya. Maka, syaitan pun menjadi orang ketiga di antara mereka berdua untuk melakukan pengkhianatan kemaluan. Berbeza dengan lelaki asing, sebagai contoh apabila seorang lelaki asing masuk ke rumah seorang wanita yang sudah bersuami, sudah tentu mereka akan mengingkarinya.
Tambahan pula zaman sekarang ini, sudah menjadi kebiasaan di dalam masyarakat kita di mana seorang lelaki atau perempuan tinggal serumah dengan iparnya tanpa ada batas pergaulan dan ini boleh membawa kepada kemurkaan Allah
Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam bersabda di dalam sebuah hadith:
واتقوا النساء، فإن أول فتنة بني إسرائيل كانت في النساء
Maknanya: Dan berhati-hatilah kamu akan wanita. Kerana sesungguhnya fitnah pertama yang menimpa Bani Israil adalah disebabkan wanita. HR Muslim.
Dan Baginda juga bersabda:
ما تركت بعدي فتنة أضر على الرجال من النساء
Maknanya: Tidaklah aku meninggalkan sebuah fitnah yang paling berbahaya bagi kaum lelaki daripada wanita. HR Bukhari & Muslim
Ini menandakan yang wanita merupakan fitnah yang maha dasyat ke atas kaum lelaki. Begitu juga wanita, lelaki merupakan fitnah yang maha dasyat bagi mereka.
Kesimpulannya baik lelaki mahupun perempuan haruslah menjaga diri masing masing daripada melakukan pergaulan bebas walau dimana pun kita berada.
Wallahu'alam.
sumber: Anakanda,wanshahir
0 comments:
Post a Comment