Teks : Ummu Sumayyah
Allah ta'ala berfirman di dalam Kitab-Nya:
ادْعُ إِلَى
سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ
بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ
سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Maknanya: Serulah kamu (wahai Muhammad akan manusia) kepada jalan Rabb-Mu dengan berhikmah serta (dengan memberikan)
peringatan yang baik. Dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang
paling baik. Kerana sesungguhnya Rabb-mu, dialah yang maha mengetahui
akan orang orang yang terpesong daripada jalan-Nya sedang Dia Maha
Mengetahui akan orang-orang yang mendapatkan hidayah.
Di dalam ayat di atas ini, Allah ta'ala menyatakan kepada kita akan ciri-ciri serta adab-adab yang harus ada pada seorang pendakwah.
Pertama sekali, hendaklah dia berdakwah kepada jalan yang lurus yang telah Allah tetapkan, yang mana jalan yang lurus tersebut mencangkupi ilmu yang bermanfaat dan juga amalan yang soleh. Bukan berdakwah kepada dirinya, bukan juga kepada jama'ahnya dan bukan juga kepada pemikiran ataupun mazhabnya. Akan tetapi hendaklah dia berdakwah kepada Allah dan kerana Allah.
Kedua,
setelah kita luruskan niat, hendaklah dakwah kita diasaskan dengan apa
yang dimulakan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam serta para
Nabi dan Rasul sebelumnya 'alaihimussalam iaitu dengan Tauhid. Tauhid
adalah mengesakan Allah ta'ala di dalam aspek ketuhanan serta
pengibadahan. Aspek ketuhanan adalah dengan kita meyakini bahawa Allah
sahajalah yang menciptakan segala sesuatu, Allah sahajalah yang memberikan rezeki kepada segala
sesuatu serta Allah sahajalah yang mengaturkan segala sesuatu dan tidak ada sekutu baginya. Di samping kita mengesakan Allah
ta'ala di dalam nama-nama dan sifat sifat-Nya subhanahu wata'ala.
Adapun aspek
pengibadahan, maka dengan kita mengesakan Allah di dalam melakukan
ibadah baik ibadah yang berkaitan dengan hati seperti tawakkul, cinta,
takut, berharap dan yang sejenisnya ataupun ibadah yang berkaitan dengan
lisan seperti zikir, do'a, dan berdakwah ataupun yang berkaitan dengan
amal perbuatan seperti solat, puasa dan membayar zakat.
Jadi, tauhid meliputi dan mencangkupi semua ini.
Dalilnya, Allah ta'ala berfirman:
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ
Maknanya: Dan sungguh telah Kami utuskan kepada setiap ummat itu seorang rasul (untuk mereka serukan) dengan "sembahlah kamu semua akan Allah dan jauhilah thagut"
Dengan dalil di atas, ini menunjukkan yang
semua Rasul-Rasul yang diutuskan oleh Allah di atas muka bumi ini, semuanya
diperintahkan untuk menyerukan kepada kaumnya pertama sekali dengan
tauhid. "Sembahlah Allah dan janganlah menyekutukannya"
Allah ta'ala berfirman:
وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُولٍ إِلَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُونِ
Maknanya: Dan tidaklah Kami utuskan seorang rasul pun sebelum kamu (wahai Muhammad) kecuali kami wahyukan kepadanya dengan "sesungguhnya tidak ada sesembahan yang berhak disembah melainkan Aku, maka sembahlah Aku
Sedangkan rasul-rasul itu, tidaklah mereka diutuskan kecuali untuk menyampaikan apa yang disampaikan oleh Allah kepada mereka.
Ketiga,
hendaklah dakwah itu dilakukan dengan cara yang berhikmah. Hikmah adalah meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya. Jadi,
bagi seorang pendakwah, sikap dan sifatnya sangat penting untuk
merealisasikan hikmah tersebut. Tergantung kondisi serta situasi orang
orang yang hendak didakwahkan. Sikap tegas dan lembut hendaklah diletakkan
berdasarkan keadaan semasa. Tidak boleh keras sentiasa dan tidak boleh juga
lembut sentiasa kerana seorang pendakwah itu akan dijadikan contoh oleh masyarakat atau orang-orang yang mereka dakwahi.
Jadi kesimpulannya bahawa ciri-ciri yang harus ada pada seorang pendakwah dalam memulakan dakwahnya adalah:
Sumber: Anakanda Wan Shahir
- Ikhlas dalam berdakwah
- Mempunyai ilmu tentang apa yang hendak didakwahkan berdasarkan Al-Quran, As-Sunnah di atas pemahaman Salaf.
- Berhikmah dalam mendakwahkan ilmu kepada manusia dengan meletakkan sikap keras dan lembut pada tempatnya.
0 comments:
Post a Comment