Copyright © Ummu Sumayyah's Online Market
Design by Dzignine
Saturday, 5 October 2013

Apa Itu Islam

Bismillah

Teks : Ummu Sumayyah


Makna islam dari segi bahasa adalah berserah diri. Manakala makna islam dari segi istilah / syarak pula ianya terbahagi kepada dua iaitu islam secara umum dan islam secara khusus.

Adapun definisi umum, islam itu adalah berserah diri hanya kepada Allah dengan Tauhid iaitu (menyembah hanya kepada-Nya), tunduk kepada-Nya dengan keta’atan, dan berlepas diri dari kesyirikan (menyekutukan Allah). Setiap agama yang tegak di atas muka bumi ini, yang Allah perintahkan untuk diikuti pada suatu zaman tertentu. Maka, jadilah umat-umat yang sebelum kita yang mana agama mereka tegak pada waktu itu dan Allah memerintahkan mereka untuk mengikutinya.

Allah berfirman menceritakan tentang ucapan Nabi Nuh 'alaihis salam terhadap kaumnya yang kufur:

فإن توليتم فما سألتكم من أجر. إن أجري إلا على الله. وأمرت أن أكون من المسلمين

Maknanya: Maka sekiranya kamu semua berpaling (daripada peringatanku, maka tidaklah ianya menjadi masalah buatku) kerana aku tidak meminta daripada kamu semua apa apa balasan. Sesungguhnya balasanku hanyalah daripada Allah semata. Dan aku diperintahkan untuk menjadi di antara orang orang islam (yang berserah diri kepada Allah)

Perhatikan perkataan Nabi Nuh 'alaihis salam: Dan aku diperintahkan untuk menjadi di antara orang orang islam.

Dan Allah berfirman menceritakan tentang Nabi Ibrahim dan Nabi Ya'qub 'alahimassalam:


إذ قال له ربه أسلم. قال أسلمت لرب العالمين. ووصى بها إبراهيم بنيه ويعقوب يا بني إن الله اصطفى لكم الدين فلا تموتن إلا وأنتم مسلمون

Maknanya: Dan ingatlah ketika Rabb Ibrahim berkata kepadanya: Berserah dirilah. Maka dia pun mengatakan: Aku berserah diri kepada Rabb sekalian alam ini. Dan Ibrahim pun mewasiatkan tentang agama ini kepada anak anaknya dan Ya'qub (juga begitu, mewasiatkan tentang agama ini kepada anak anaknya) dengan berkata: Wahai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih bagi kamu semua agama ini maka janganlah kamu mati kecuali kamu dalam keadaan islam.

Perhatikan perkataan Nabi Ibrahim dan Nabi Ya'qub kepada anak anak mereka: Maka janganlah kamu mati kecuali kamu dalam keadaan islam.

Banyak lagi contoh contoh yang semisal ini. Di antaranya di dalam surah Yunus: 84, surah Al-Maidah: 44, Surah Al-Maidah ayat 111 dan surah An-Naml: 44.

Adapun definisi islam secara khusus, maka ia dikhususkan hanya kepada syariat Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam.

Allah ta'ala berfirman:
قل إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين. لا شريك له وبذلك أمرت وأنا أول المسلمين


Maknanya: Katakanlah (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya solatku, sembelihanku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah Rabb sekalian alam. Tidak ada sekutu baginya. Demikianlah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama sekali berserah diri. 

Maka tidak ada islam selepas diutusnya Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam kecuali dengan mengikutinya. Kerana agamanya adalah yang menjadi penghukum kepada agama agama yang sebelumnya. Dan syariatnya adalah yang me'nasakh'kan (memadamkan) syariat syariat yang telah lalu.

Dan barangsiapa yang telah sampai kepadanya berita tentang kerasulan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam kemudian dia tidak beriman dengannya serta tidak mengikutinya, maka dengan itu dia telah menjadi kafir -na'udzu billah-.

Wallahu a'lam.
sumber : anakanda wannshahir.

0 comments:

Post a Comment