Copyright © Ummu Sumayyah's Online Market
Design by Dzignine
Tuesday, 29 October 2013

Lemahnya Manusia

Bismillah

Teks : Ummu Sumayyah

Manusia diciptakan oleh Allah sebagai makhluk yang paling sempurna berdasarkan fitrahnya. Tetapi Allah juga menciptakan manusia dengan segala keterbatasan dan kelemahannya. Akan tetapi ramai manusia sering lupa dan menyangka diri mereka kuat dan berkuasa. Sehinggakan kadangkala tanpa disedari terkeluar dari mulut-mulut manusia yang tidak bertanggungjawab yang tidak mahu tunduk akan ketetapan Allah dengan perkataan seperti "kenapa semua tak boleh? Ini tak boleh, itu tak boleh, ini haram, itu haram...?"

Tidak tahukah kita akan kewajipan setiap yang mengaku muslim untuk sentiasa tunduk kepada Rabb yang menciptakan dan memberikan rezeki kepada kita iaitu Allah?


Allah ta'ala berfirman di dalam Al-Quran:

فلا وربك لا يؤمنون حتى يحكموك فيما شجر بينهم ثم لا يجدوا في أنفسهم حرجا مما قضيت ويسلموا تسليما

Maknanya: Maka demi Rabb-mu (Wahai Muhammad) mereka tidak beriman sampai mereka menjadikan kamu hakim di dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan di dalam diri mereka akan apa yang telah kamu tetapkan sedang mereka berserah diri dengan sepenuhnya.

Dari ayat di atas, perhatikan ayat yang bermaksud  "kemudian mereka tidak merasa keberatan di dalam diri mereka akan apa yang telah kamu tetapkan"
Dan perhatikan juga "sedang mereka berserah diri dengan sepenuhnya"

Inilah yang wajib kita lakukan apabila berhadapan dengan ketetapan Allah. Berserah diri serta redha akan ketentuan tersebut. Bukannya melenting, memarahi ataupun memaki hamun baik kepada ketetapan tersebut mahupun kepada individu yang menyampaikannya. Banyak yang tidak tahu akan bahayanya perbuatan yang demikian. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang telah mempunyai ilmu tentang ini.

Allah ta'ala berfirman:

وما كان لمؤمن ولا مؤمنة إذا قضى الله ورسوله أمرا أن يكون لهم الخيرة من أمرهم ومن يعص الله ورسوله فقد ضل ضلالا مبينا

Maknanya: Dan tidaklah patut bagi seorang lelaki yang mukmin ataupun bagi perempuan yang mu'minah, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan suatu perkara, mereka mempunyai pilihan yang lain akan urusan mereka tersebut. Dan barangsiapa yang melakukan ma'siat kepada Allah, sungguh dia telah tersesat dengan kesesatan yang nyata.

Apa maksud "mereka mempunyai pilihan yang lain akan urusan mereka tersebut"?

Maksudnya: Apabila terdapat hukum Allah di dalam sesebuah masalah, maka tidak boleh bagi sesiapapun untuk membuat pilihan lain selain yang telah ditetapkan oleh Allah ataupun Rasul-Nya tersebut. Dan itu bukanlah di antara sifat sifat orang orang yang beriman maka konsekuensinya, ia adalah sifat yang belawanan dengan keimanan. Na'udzu billah.

Allah ta'ala berfirman lagi: 

إنما كان قول المؤمنين إذا دعوا إلى الله ورسوله ليحكم بينهم أن يقولوا سمعنا وأطعنا وأولئك هم المفلحون

Maknanya: Sesungguhnya, perkataan yang diucapkan oleh orang orang yang beriman apabila mereka diajak kepada Allah dan Rasul-Nya untuk menghukumi di antara mereka adalah "kami dengar dan kami ta'at". Dan merekalah orang-orang yang mendapatkan kejayaan.

Di dalam surah yang lain Allah ta'ala berfirman:

ذلك بأنهم كرهوا ما أنزل الله فأحبط أعمالهم

Maknanya: Itu adalah disebabkan mereka tidak suka akan apa yang telah diturunkan oleh Allah maka Dia menghapuskan segala amalan mereka.


Jadi, hendaklah kita semua berhati hati setelah ini daripada termasuk di antara golongan yang membenci akan apa yang telah diturunkan oleh Allah, baik secara keseluruhan ataupun secara sebahagian agar amalan kita tidak terhapus.

Kesimpulannya; Melakukan kemungkaran dalam keadaan kita tahu bahawasanya ia adalah mungkar jauh lebih baik daripada kita membolehkan kemungkaran atau mencari dalil dalil yang umum (salah) untuk membenarkan kemungkaran tersebut.

Wallahu a'lam.

(Sumber: Anakanda Wan Shahir)

0 comments:

Post a Comment